Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.
YABhg Tun Jeanne Abdullah merupakan seorang yang mengambil berat tentang keadaan komuniti di sekelilingnya. Sejak menjadi isteri kepada mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5, YAB Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, YABhg Tun telah banyak menyumbang tenaga serta kepakarannya tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik dengan melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan amal dan kebajikan. YABhg Tun Jeanne Abdullah merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik dan dilahirkan di Kuala Lumpur pada 29 Julai 1953. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta. Beliau mempunyai dua orang anak perempuan iaitu Nadiah Kimie dan Nadene Kimie.
YABhg Tun mempunyai pengalaman luas terutamanya dalam bidang pentadbiran dan perhotelan. Beliau yang pernah terlibat dalam dunia pengurusan di kebanyakan hotel ternama Malaysia seperti Hilton Kuala Lumpur dan Hotel Pan Pacific juga pernah berkhidmat sebagai penyelia di kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum dilantik menjadi pengurus di Kompleks Seri Perdana.
Beliau yang merupakan pengasas kepada penubuhan Sekretariat Malaysia Prihatin merangkap Pengerusi Eksekutif, telah bertungkus-lumus menjayakan program-program yang direncanakan bagi memastikan matlamat penubuhan organisasi ini berjaya dicapai sepenuhnya. Berdasarkan kepada sifat kesungguhannya yang mendalam terhadap sesuatu perkara, YABhg Tun turut diberi penghormatan sebagai teraju utama dalam beberapa buah pertubuhan lain seperti Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Pengerusi Landskap Malaysia, Ahli Kehormat Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI). Kepakaran dan keprihatinannya terhadap pendidikan dan pembelajaran berterusan terus dihargai dan dipandang tinggi apabila diberi mandat menjadi Canselor Universiti Terbuka Malaysia sejak Disember 2007.
Pada tahun 2007, beliau telah dikurniakan pingat kebesaran iaitu Seri Paduka Makhota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri. Beliau turut dikurniakan pingat Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) oleh kerajaan Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada tahun yang sama. Rentetan daripada itu, penglibatan dan sumbangannya terhadap masyarakat dan rakyat Malaysia terus diiktiraf di serata negara.
Pada tahun 2008, kerajaan negeri Sarawak telah mengurniakan YABhg Tun pingat Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A). Pingat ini membawa gelaran Datuk Amar kepada beliau. Pada 24 Mei 2008, YABhg Tun Jeanne Abdullah telah dianugerahkan Soka Women’s College Award of Highest Honour dari Soka Women’s College, Universiti Soka, Jepun. Anugerah ini diberikan sebagai mengiktiraf sumbangan beliau sebagai Canselor Universiti Terbuka Malaysia, sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka yang memberi peluang pendidikan sepanjang hayat melalui pembelajaran jarak jauh kepada masyarakat umum.
YABhg Tun Jeanne Abdullah telah dikurniakan Seri Setia Mahkota (S.S.M) merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Pertama yang membawa gelaran ‘Tun’ pada 3 April 2009 oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan beliau dalam membantu rakyat miskin dan kurang upaya tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa, YABhg Tun juga telah dianugerahkan Anugerah Khas Saudara Muslim Cemerlang 2009. Anugerah ini disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Y.B. Senator Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir bin Hj Baharom (B) pada Konvensyen Saudara Muslim peringkat kebangsaan pada 25 Julai 2009. Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
YBhg. Tan Sri Rozali bin Ismail dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor dan telah dibesarkan di Felda Gedangsa, Hulu Selangor. Mendapat pendidikan awal di Daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor, beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan kelulusan Sarjana Muda Undang-undang pada tahun 1981.
Kerjaya beliau bermula di Urban Development Authority (UDA) sebagai Penasihat Undang-undang dan pada tahun 1983 telah menyertai Bank Islam Malaysia Berhad di mana beliau telah bersama rakan kerja lain, memperkenalkan konsep perbankan Islam yang pertama di negara ini. Setelah berkhidmat sebentar di Bank Rakyat, beliau membuka pula firma guaman sendiri khusus untuk bidang perbankan, hartanah dan korporat. Selepas itu beliau menubuhkan perniagaan milik keluarga sendiri, Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd., pada tahun 1989, dan memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif.
Selain dari berjaya dalam bidang perniagaan, beliau juga aktif dalam pertubuhan sukarela dan di antaranya ialah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia, Pengerusi Gabungan Wawasan Generasi Felda, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Sosial Masyarakat Felda, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia dan Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia.
Ketokohan dan kepimpinan YBhg. Tan Sri Rozali dalam bidang perniagaan dan kemasyarakatan telah diiktiraf dengan anugerah Bintang Kebesaran Darjah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1997 dan Bintang Kebesaran Negara Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) yang membawa gelaran Tan Sri pada tahun 2000.
YBhg. Puan Sri Fawziah Begum Binti Mohd Abu Bakar, adalah seorang pesara yang mempunyai pengalaman bekerja selama 20 tahun dalam bidang kebajikan masyarakat. Bermula sebagai Pegawai Latihan di Institut Latihan Kebajikan di Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Kubu Bharu pada 1980 dan kemudian sebagai Timbalan Pengarah di Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan pada 1985, beliau kemudian menyandang jawatan sebagai Penolong Pengarah Bahagian Perlindungan di Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 1996 hingga tahun 2000.
Beliau berkelulusan dalam Diploma Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Sains Kemsyarakatan (Sosiologi) dari Universiti Sains Malaysia. Sekarang beliau melibatkan diri sebagai ahli dalam beberapa persatuan dan pertubuhan amal seperti Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI), Persatuan Pekerja Sosial Malaysia dan Persatuan Wanita Islam Masjid Bukit Damansara (PERWIDA).
Tan Sri Francis Lau Tuang Nguang ialah seorang Pengerusi Eksekutif di Syarikat Leong Hup Holdings (LHH) Berhad, sebuah syarikat yang di antara syarikat pembekal daging ayam yang terbesar di Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman sebanyak 20 tahun dalam perniagaan perladangan ayam dan terbabit dalam operasi-operasi perladangan kumpulan syarikat terbabit di Malaysia, Indonesia dan Filipina. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif pada tahun 1990 selepas menjadi Pengarah di syarikat itu semenjak tahun 1986.
Dato’ Reezal Merican telah dilahirkan pada 1972, di Butterworth, Pulau Pinang. Beliau telah menamatkan pengajian tinggi beliau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan. Perkerjaan awal beliau bermula di Bank Industri Berhad pada tahun 1995, bersambung di KFH Ijarah House (M) Berhad pada tahun 1997, di Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada tahun 1998 dan kemudian di Avengrade Resources Sdn Bhd sebelum mula melibatkan diri dalam bidang politik. Selain SMP, beliau juga menyokong beberapa pertubuhan sukarela seperti menjadi Penasihat Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ahli Majlis Universiti Islam Antarabangsa.
Bertugas sebagai peguam di firma guaman swasta sejak 1991, Puan Hajah Fadzilah Binti Mohd Pilus menguruskan kes-kes litigasi termasuk antara lain kes-kes perbankan dan kewangan, kes-kes korperat, kes-kes hartanah dan lain-lain. Beliau telah menamatkan pengajian di University of London dengan ijazah LL.B. (Honours) dan selepas tamat mengambil sijil Amalan Guaman, beliau diterima masuk di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 1991 sebagai peguambela dan peguamcara.
Pada tahun 1991 hingga 2005, beliau bertugas sebagai peguam di Tetuan Adnan Sundra & Low dan kemudian menyertai Tetuan Anad & Noraini sebagai rakan kongsi dan ketua litigasi firma tersebut mulai Oktobor 2005. Pada Julai 2006 beliau telah menjadi rakan kongsi dan ketua litigasi Tetuan Azam Lim & Pang dan pada Jun 2007 menyertai pula Tetuan Rozali Ismail & Co sebagai pengurus serta rakan kongsi utama sehingga hari ini.
Beliau pernah mewakili bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Bin Mohamed, beberapa institusi kewangan di Malaysia termasuk Bank Muamalat Malaysia Berhad, Southern Bank Berhad, Alliance Bank Berhad, Bumiputra-Commerce Bank Berhad, AmMerchant Bank Berhad dan juga lain-lain perbadanan. Pengalaman beliau termasuk dalam menangani kes-kes di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Selain dari yang disebut di atas, beliau juga menjadi ahli kepada Bank Negara Malaysia Law Review Committee for Islamic Banking & Financial Transaction dan juga pengerusi untuk jawatankuasa kecil Kanun Tanah Negara 1965.
Sertai Rangkaian Kami
Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami
© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.