Sebanyak 7 buah kementerian akan terlibat secara langsung dalam program ini dari segi menyediakan program-program yang sesuai dan menyalurkan peruntukan kewangan. Selain daripada itu, agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan di bawah kementerian-kementerian yang terlibat akan turut terlibat secara langsung di dalam pelaksanaan program ini. Kerjasama ini akan menjadi lebih efektif dengan perlantikan wakil tetap kementerian ke dalam jawatankuasa induk dan pelaksanaan Program Malaysia Prihatin.
Kementerian-kementerian yang terlibat adalah:
- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
- Kementerian Kesihatan
- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Kementerian Pengajian Tinggi
- Kementerian Belia dan Sukan
- Kementerian Pelajaran
(1) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan terlibat secara langsung untuk menjayakan Program Malaysia Prihatin melalui beberapa bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian. Perkhidmatan Jabatan Pertanian akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai pengembangan sedia ada di peringkat kawasan, daerah dan negeri di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkaitan. Dalam hal ini, pegawai pengembangan akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Penduduk, Taman atau Komuniti dan Sekretariat Program Malaysia Prihatin dari segi mendapatkan profil golongan sasar yang layak. Antara perkhidmatan yang disediakan adalah:
- Khidmat nasihat teknikal dan bimbingan kepada kumpulan sasaran mengenai aspek tanaman sama ada untuk makan sendiri atau komersial, industri asas tani (IAT) dan keusahawanan, Pembangunan Tanaman Bunga-bungaan dan Komoditi Berpotensi.
- Memberi latihan dan kursus jangka pendek dalam bidang teknikal pengeluaran dan pemprosesan, keusahawanan, pengurusan kewangan, motivasi dan pemasaran yang berkaitan tanaman dan projek IAT. Latihan dan bimbingan dalam pembangunan keluarga yang meliputi aspek amalan makanan dan pemakanan, pengurusan bumi hijau melalui konsep ‘kitchen garden’ atau ‘edible landscape’, yang secara langsung akan memperbaiki keindahan lanskap desa.
- Menyediakan insentif amalan teknologi untuk tanaman dan IAT bagi memulakan sesuatu projek.
- Meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat kepada alam sekitar dengan memberi tumpuan kepada pemprosesan sisa-sisa tanaman, najis haiwan ternakan dan sisa-sisa makanan.
- Memberikan khidmat nasihat dan latihan pemasaran melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kepada Kedai Koperasi Desa / Kampung yang diwujudkan untuk menjadi pusat pengumpulan hasil-hasil tani warga desa supaya dapat dikomersilkan.
(2) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan terlibat secara langsung dalam program ini melalui beberapa buah agensinya yang berkaitan iaitu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dari aspek pembangunan desa dan warganya, program-program latihan untuk kanak-kanak, remaja, belia dan kepimpinan kampung serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dari sudut pembangunan orang Asli. Namun begitu, jabatan dan agensi lain di bawah kementerian tersebut seperti RISDA, FELCRA, KEJORA, KEDA, KETENGAH dan lain-lain agensi akan terlibat secara tidak langsung seperti dari segi penyediaan logistik dan prasarana kepada aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan.
Kementerian berperanan mengenal pasti program-program sedia ada yang boleh dilonjakkan aspek pelaksanaannya melalui Program Malaysia Prihatin. Kementerian juga akan menggunakan peruntukan yang sedia ada di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan 2006–2010 (RMK9) atau memohon peruntukan tambahan bagi menjayakan hasrat program ini. Beberapa sektor diberikan penekanan khusus dan fokus utama di bawah Program Malaysia Prihatin di bawah bidang kuasa dan skop kementerian ini, iaitu:
- Meningkatkan liputan dan kualiti program-program prasarana dan utiliti di kawasan luar bandar menerusi penyediaan kemudahan yang berkualiti ke arah kesejahteraan masyarakat luar bandar di samping mempercepatkan pembangunan ekonomi luar bandar.
- Mendidik masyarakat desa untuk memelihara alam sekitar dengan cara pemodenan kampung, pemuliharaan sungai, penjagaan parit, longkang dan membina lanskap.
- Mempergiatkan usaha untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan membantu mengurangkan kadar kemiskininan luar bandar.
- Melahirkan usahawan yang berdaya saing dan berdaya tahan serta lebih berinovatif untuk menangani cabaran semasa dan persekitaran.
- Menggiatkan lagi pertumbuhan ekonomi kawasan luar bandar supaya dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat di luar bandar.
- Mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan luar bandar serta jurang digital di antara pelbagai kelompok dalam masyarakat di luar bandar.
- Melahirkan masyarakat pekebun kecil luar bandar yang produktif di samping memaksimumkan penggunaan tanah-tanah pertanian dan mempelbagaikan jenis tanaman atau ternakan.
- Memperkemaskan lagi pelaksanaan program-program di bawah KEMAS seperti TABIKA, TASKA, Gerakan Masyarakat, latihan, Program Bina Insan, Gerakan Desa Wawasan (GDW) dan Pembangunan Desa.
- Memastikan pembangunan orang Asli tidak terpinggir dengan cara memantapkan lagi aspek pelaksanaan program pembangunan masyarakat orang Asli di bawah JHEOA.
(3) Kementerian Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui institusi pengajian tinggi dan kolej-kolej komuniti akan terlibat secara langsung dalam Program Malaysia Prihatin untuk menyediakan tenaga sukarelawan yang akan turun padang ke seluruh Malaysia. Mekanisme pemilihan tenaga sukarelawan sama ada melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) atau persatuan-persatuan mahasiswa negeri-negeri dengan pendekatan mahasiwa/i akan kembali berkhidmat ke negeri masing-masing Ini termasuk tenaga sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa/i Fakulti Perubatan yang merupakan antara tenaga sukarelawan perubatan yang amat diperlukan dalam program ini.
Selain dari itu, KPT melalui kolej-kolej komuniti akan menyediakan modul-modul pembelajaran kemahiran jangka masa pendek dan panjang yang sesuai kepada golongan sasar. Kolej-kolej komuniti juga berperanan untuk melakukan match making di antara modul yang sedia ada dengan profil golongan sasar supaya pembelajaran akan lebih berkesan dalam jangka masa pendek. Berikut adalah beberapa pendekatan yang akan digunakan oleh KPT melalui kolej komuniti untuk merealisasikan matlamat dan objektif Program Malaysia Prihatin, iaitu:
- Menyediakan tenaga sukarelawan di kalangan para mahasiswa yang akan turun padang ke seluruh negara, sama ada tenaga sukarelawan untuk aktiviti gotong-royong, penyelidikan, bancian dan perubatan.
- Pelaksanaan Program Masyarakat Prihatin adalah bersesuaian dengan peranan dan objektif penubuhan kolej komuniti sebagai Hab Pembelajaran Sepanjang Hayat.
- Menggunakan sepenuhnya prasarana yang telah wujud iaitu taburan 89 buah kolej komuniti di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang dilengkapi dengan kemudahan prasarana, peralatan dan pengangkutan.
- Menyesuaikan modul-modul pembelajaran yang sedia ada dengan golongan sasar Program Malaysia Prihatin di samping menekankan aspek pembangunan diri dan keusahawanan.
- Menyediakan latihan kemahiran asas dalam bidang-bidang yang terpilih seperti teknologi maklumat, jahitan, makanan, elektrik dan elektronik, automotif, agro teknologi dan beberapa kursus lain yang bersesuaian. Dengan latihan kemahiran asas ini, golongan sasar seperti pelajar rendah akademik dan ibu tunggal dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan mampu merebut peluang ekonomi yang ada.
(4) Kementerian Kesihatan
Kementerian Kesihatan melalui rangkaian Pejabat-pejabat Kesihatan dan Klinik-klinik Kesihatan Daerah akan bekerjasama sepenuhnya untuk menjayakan Program Malaysia Prihatin dari aspek penyediaan tenaga kerja pasukan perubatan, peralatan perubatan dan mengemaskini rekod-rekod perubatan warga desa. Ini termasuk menyediakan pasukan perubatan yang lengkap dianggotai oleh doktor, pembantu perubatan dan jururawat yang akan turun padang secara berkala ke kampung-kampung dan daerah-daerah.
Selain daripada itu, Kementerian Kesihatan akan terlibat secara langsung dalam memberikan khidmat nasihat dan latihan dalam usaha mewujudkan sebuah perkampungan warga emas. Berikut adalah bentuk-bentuk peranan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan, iaitu:
- Memberikan khidmat nasihat teknikal dari aspek pembentukan perkampungan warga emas dan juga latihan kepada para penjaga (caregiver) sama ada melalui kapakaran dari kementerian sendiri atau mengenal pasti badan-badan perunding yang berkelayakan untuk menjalankan fungsi tersebut.
- Memberikan sokongan kepada usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan warga desa dengan kekuatan 151 pasukan klinik bergerak, 8425 Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PKKK), 2991 Wakil Kesihatan Kampung (WKK) dan 5 buah pasukanHome Care Nursing yang akan bekerjasama dengan pasukan perubatan sukarelawan Program Malaysia Prihatin.
- Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang terdiri daripada Pegawai Perubatan, Pen. Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih, Jururawat Masyarakat dan Pegawai Pergigian sentiasa sedia untuk berkhidmat secara turun padang. Pasukan ini berkemampuan untuk melaksanakan program-program kesihatan yang merangkumi aktiviti pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan pergigian, ceramah dan pameran kesihatan, pemeriksaan payu dara dan pap smear.
- Menyediakan pakar-pakar perubatan seperti Pakar Perubatan Keluarga dan Pakar Psikiatri untuk memberikan ceramah serta melantik agensi seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) untuk memberikan latihan perubatan seperti Kursus First Aid.
- Membekalkan ubat-ubatan percuma sama ada kepada pesakit yang datang ke klinik atau ketika pelaksanaan program turun padang seperti khemah kesihatan atau program klinik kesihatan bergerak.
- Menyediakan risalah dan bahan bacaan pendidikan kesihatan melalui Unit Pendidikan Kesihatan di peringkat Kementerian Kesihatan, negeri dan daerah. Bahan-bahan ini diedar di klinik-klinik atau ketika program turun padang seperti khemah kesihatan dan klinik kesihatan bergerak. Ia juga turut diedarkan kepada para pelajar di sekolah-sekolah melalui Pejabat Kesihatan Daerah.
- Menyediakan dan mengemaskini rekod kesihatan pesakit dan mencadangkan rawatan susulan jika perlu setelah pemeriksaan kesihatan dilakukan.
(5) Kementerian Belia dan Sukan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberikan tumpuan khusus kepada agenda pembangunan belia sama ada dalam bidang sukan, keusahawanan dan tenaga mahir, sesuai dengan kumpulan sasar yang ditetapkan dalam Program Malaysia Prihatin. Ini seiring dengan objektif KBS “untuk membina masyarakat belia yang bersatu padu, berdisiplin, berakhlak tinggi dan bergerak maju dalam bidang sosial dan ekonomi serta untuk membina masyarakat yang sihat, cergas dan berbudaya sukan ke arah perpaduan dan pembangunan negara”.
KBS akan melaksanakan fungsi dan peranannya melalui program-program pembangunan sukan, program Rakan Muda dan program-program latihan di pusat-pusat latihannya sama ada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) atau Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN). Berikut adalah beberapa peranan dan perkhidmatan yang bakal disediakan oleh KBS untuk program ini, iaitu:
- Memberikan penekanan kepada pembentukan generasi belia yang bertanggungjawab, dinamik dan mempunyai daya kepimpinan yang baik melalui pelbagai program yang dilaksanakan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
- Menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran vokasional kepada para belia terutama belia yang tidak berpeluang ke IPT, melalui modul-modul latihan yang disediakan di 15 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara termasuk sebuah Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN).
- Menyediakan program yang komprehensif untuk meningkatkan tahap kualiti hidup belia melalui program kecergasan dan pembangunan sukan berlandaskan 2 strategi utama iaitu Sukan Untuk Semua dan Malaysia Cergas.
- Menyediakan pelbagai aktiviti dalam ruang lingkup aspek kehidupan yang menyeluruh melalui Program Rakan Muda. Program pembangunan sosial ini berusaha untuk melahirkan generasi belia yang bertanggungjawab, berkeyakinan dan berupaya mengawal diri serta menghapuskan amalan-amalan negatif. Kepelbagaian aktiviti di bawah program ini diterjemahkan melalui 9 Gaya Hidup, iaitu:
• Rakan Rekreasi
• Rakan Wajadiri
• Rakan Sukan
• Rakan Kecergasan
• Rakan Wirausaha dan Wiramahir
• Rakan Inovasi
• Rakan Masyarakat
• Rakan Cinta Alam
• Rakan Seni Budaya
Dalam usaha memperkemaskan program ini, KBS turut memperkenalkan 3 program baru iaitu Rakan Muda Sukarelawan, Rakan Muda Wawasan Desa dan Rakan Jiran Muda, yang amat sesuai dan sinonim dengan pelaksanaan Program Malaysia Prihatin.
(6) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memberikan tumpuan yang khusus kepada pembentukan sebuah perkampungan mesra warga emas dari segi penyediaan kaedah pelaksanaan, dana dan tenaga kerja. Di samping itu, kementerian juga akan bekerjasama dengan Sekretariat Program Malaysia Prihatin dari segi menyediakan pangkalan data mengenai golongan sasar di sesuatu kampung, daerah dan negeri.
Dalam konteks mewujudkan sebuah perkampungan mesra warga emas, pihak kementerian telah mengemukakan beberapa strategi pelaksanaan iaitu:
- Kementerian akan mengenal pasti dan melantik sebuah Jawatankuasa atau NGO yang berkelayakan untuk menguruskan hal ehwal berkaitan keperluan dan penjagaan penghuni di perkampungan warga emas.
- Memastikan Jawantankuasa atau NGO yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan perkampungan tersebut menyediakan perkhidmatan yang terbaik yang merangkumi aspek spiritual (kerohanian dan keagamaan), terapi, kebudayaan, keselamatan diri dan penjagaan kesihatan.
- Menyediakan keperluan asas seperti klinik, tempat ibadat, pusat aktiviti merangkumi dewan, gimnasium, taman untuk riadah dan lain-lain kemudahan seperti kemudahan ICT dan pengangkutan.