Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.
Tarikh : November 2009-April 2010
Lokasi : Parlimen Kepala Batas & Parlimen Tasek Gelugor
Maklumat Aktiviti:
Penubuhan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) adalah berpaksikan kepada beberapa faktor tumpuan yang telah digariskan mengikut keperluan masyarakat Malaysia yang memerlukan. Faktor-faktor tersebut diperincikan lagi dengan golongan sasar yang telah ditetapkan untuk menyalurkan bantuan sedia ada tanpa mengira agama, bangsa, keturunan mahupun fahaman politik. Bagi merealisasikan hasrat SMP untuk menghulurkan bantuan semaksima mungkin, beberapa siri kaji selidik telah dijalankan sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor bagi memperoleh data-data golongan yang memerlukan.
Sebanyak tiga (3) siri kaji selidik telah dijalankan bermula November 2009 hingga April 2010. Kaji selidik pertama telah dilancarkan pada 6 hingga 19 November 2009. Pada sesi kaji selidik ini SMP telah mendapatkan 36 tenaga sukarelawan yang merupakan warga penduduk Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Bagi memastikan segala data yang diperoleh adalah jitu, para sukarelawan yang terpilih adalah terdiri daripada individu yang bebas dari mana-mana fahaman politik, perkauman dan sebagainya. Pada sesi pertama ini sebanyak 17 kampung telah berjaya dikaji. Sukarelawan SMP telah berjaya menghabiskan lapan (8) buah kampung di sekitar Parlimen Kepala Batas sepanjang tempoh yang telah ditetapkan. Antara kampung yang terlibat adalah seperti Kampung Baru Kuala Muda, Kampung Kuala Bekah, Kampung Sungai Korok, Kampung Pasir Gebu Tepi Laut, Kampung Kovil, Kampung Kubang Menerong, Kampung Guar Tuan Syed dan Kampung Lembah Raja. Bagi Parlimen Tasek Gelugor, sebanyak 9 buah kampung telah berjaya dikaji. Kampung-kampung berkenaan adalah Kampung Besar, Permatang Tok Bidan, Kampung Pekan Darat, Kampung Pokok Machang, Permatang Sungai Dua, Permatang Tok Gelam, Permatang Kerai Kecil, Permatang Haji Hassan dan Permatang Binjai.
Sesi kedua kaji selidik adalah pada 18 hingga 27 Disember 2009 dan SMP telah dibantu oleh 32 orang sukarelawan yang menjadi pembanci bagi kedua-dua kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Enam (6) kampung bagi setiap Parlimen telah berjaya dikaji selidik. Kampung-kampung yang terlibat di Parlimen Kepala Batas adalah seperti Kampung Padang Tembusu, Kampung Lahar Tabut, Kampung Tasek, Kampung Lembah, Permatang Kuang dan Kampung Pokok Jenerih manakala bagi kampung sekitar Parlimen Tasek Gelugor adalah seperti Permatang Kerai Besar, Kampung Paya, Kampung Bagan Belat, Permatang Indah, Permatang Sireh dan Kampung Lebai Tahir.
Setelah selesai dua (2) siri kaji selidik pada penghujung tahun 2009, SMP sekali lagi meneruskan usaha untuk mendapatkan profil penduduk sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Bersandarkan kerjasama baik yang telah diterima daripada penduduk kampung kepada sukarelawan SMP, sebanyak 14 buah kampung telah berjaya dikaji bagi kedua-dua Parlimen. Kaji selidik yang diadakan pada 16 hingga 25 April 2010 ini telah disertai oleh 18 orang sukarelawan. Kampung-kampung yang terlibat di Parlimen Kepala Batas pada siri ketiga (3) ini adalah Kampung Sungai Kedak, Kampung Tok Otek, Kampung Padang, Permatang Pauh, Kampung Setol, Kampung Pantai Kamloon dan Kampung Tanjung Rambai manakala di Parlimen Tasek Gelugor adalah Kampung Lahar Tembun, Kampung Paya Tok Akil, Kampung Setul, Kampung Guar Kepayang, Kampung Tok Hamid/Desa Puri, Kampung Pekan Baru dan Kampung Bagan Tambang.
Sehingga kini SMP sedang membuat perancangan rapi bagi membantu golongan yang memerlukan ini dalam usaha meningkatkan taraf hidup dan tahap keselesaan seperti rakyat Malaysia yang lain di samping berusaha membasmi kemiskinan tegar yang masih membelenggu rakyat Malaysia kini.
Sertai Rangkaian Kami
Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami
© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.