English

Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.

Program Kecemerlangan Bersama Prihatin (PMR)

Tarikh : 5-6 September 2009

Lokasi : Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas

Maklumat Aktiviti:

Pada 5 dan 6 September 2009, Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) telah mengadakan Program Kecemerlangan Bersama Prihatin untuk calon-calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi sekolah-sekolah di sekitar Tasek Gelugor dan Kepala Batas. Idea untuk menganjurkan program seumpama ini tercetus setelah menyedari kepentingan akademik di kalangan generasi muda masa kini yang merupakan pemangkin masa depan negara. Program ini juga diilhamkan bagi membantu menaikkan tahap pencapaian pelajar-pelajar terutamanya pelajar-pelajar luar bandar. Bagi memastikan matlamat utama program tercapai, SMP telah mendapatkan khidmat profesional daripada Berita Harian bagi menyediakan penceramah-penceramah berkaliber serta menyediakan modul-modul untuk rujukan para pelajar. Program yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) ini diadakan di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas.

Program yang dijalankan selama dua (2) hari ini melibatkan 13 buah sekolah dan mendapat penyertaan pelajar seramai 248 orang. Sekolah-sekolah yang dimaksudkan adalah SMK Bakti, SMK Kampung Selamat, SMK Datuk Onn, SMK Datuk Haji Ahmad Said, SMKA Al-Irshad, SMK Datuk Haji Abdul Kadir, SMK Permatang Tok Labu, SMK Bertam Indah, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, SMK Paya Keladi, SMK Pokok Sena, SMA Daeratul Maarifil Wataniah Satu dan SMK Sri Muda. SMP telah menyediakan kemudahan pengangkutan iaitu bas sekolah bagi memudahkan para pelajar untuk menghadirkan diri di tempat berlangsungnya program. Selain daripada para pelajar, program ini turut mendapat sokongan daripada guru-guru pengiring bagi setiap sekolah yang hadir untuk setiap sesi yang diadakan.

Program kecemerlangan bersama dengan Berita Harian ini telah menawarkan tujuh (7) subjek. Subjek yang dimaksudkan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, Geografi dan Kemahiran Hidup. Kesemua subjek ini dikendalikan oleh para penceramah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing. Para pelajar diberi peluang untuk mengemukakan sebarang pertanyaan sepanjang sesi berlangsung bagi memastikan proses penyampaian yang dilakukan boleh diterima dan difahami.

Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YABhg Tun Jeanne Abdullah selaku Pengerusi Eksekutif Sekretariat Malaysia Prihatin diiringi oleh YBhg Puan Sri Fawziah Begum Mohd Abu Bakar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekretariat Malaysia Prihatin,Encik Othman Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Malaysia Prihatin dan juga Encik Zainor Said, Pengarang Pendidikan, Berita Harian.

Sertai Rangkaian Kami

Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami

 
 

© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.