English

Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.

Program Kecemerlangan Bersama Prihatin (SPM)

Tarikh : 10-11 Oktober 2009

Lokasi : Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kepala Batas

Maklumat Aktiviti:

Dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk menaik taraf pendidikan Malaysia selain membantu meningkatkan prestasi pelajar, Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) telah mengilhamkan sebuah program yang berfokuskan pendidikan. Program yang diadakan pada 10 dan 11 Oktober 2009 ini telah memberi peluang kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas untuk melengkapkan diri dalam menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

Bagi memastikan program berjalan lancar, SMP telah mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dalam memberi kelulusan untuk mengadakan program seumpama ini. Berlandaskan kepekaan dan keprihatinan dalam memastikan generasi muda masa kini berjaya terutamanya dalam aspek pendidikan, pihak Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kepala Batas telah menawarkan dewan kuliah utama untuk dijadikan tempat berlangsungnya program.

Selain itu, tujuan utama program seumpama ini dianjurkan adalah untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar serta kata-kata perangsang yang bermanfaat kepada para pelajar sebagai persediaan menempuhi peperiksaan. SMP juga berharap dapat membantu calon-calon membuat persiapan khususnya dari segi strategi mahupun kaedah menjawab soalan secara berkesan bagi menduduki peperiksaan.

Dalam usaha untuk menjayakan program yang telah direncanakan, SMP telah mendapatkan khidmat profesional daripada Berita Harian bai menguruskan segala hal berkaitan penceramah dan juga modul-modul untuk calon pelajar yang menyertai program kecemerlangan ini. Sehubungan itu, pihak Berita Harian telah melantik beberapa orang penceramah yang berkaliber, arif serta yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing bagi menerajui setiap sesi yang telah ditetapkan.

Program kecemerlangan bersama dengan Berita Harian ini telah menawarkan enam (6) subjek. Subjek yang dimaksudkan adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia.

Program yang dijalankan selama dua (2) hari ini melibatkan 13 buah sekolah dan mendapat penyetaan pelajar seramai 248 orang. Sekolah-sekolah yang dimaksudkan adalah SMK Bakti, SMK Kampung Selamat, SMK Datuk Onn, SMK Datuk Haji Ahmad Said, SMKA Al-Irshad, SMK Datuk Haji Abdul Kadir, SMK Permatang Tok Labu, SMK Bertam Indah, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, SMK Paya Keladi, SMK Pokok Sena, SMA Daeratul Maarifil Wataniah Satu dan SMK Sri Muda. Pihak SMP telah menyediakan beberapa buah bas sekolah untuk kemudahan pengangkutan bagi para pelajar untuk menghadiri program ini di ILP.

Sebagai penutup acara, YBhg Puan Sri Fawziah Begum Mohd Abu Bakar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP telah sudi meluangkan masa untuk menyempurnakan majlis penyampaian sijil kepada para peserta. Beliau yang diiringi oleh Encik Othman Omar, Ketua Pegawai Eksekutif SMP dan juga Encik Tamrin Anuar, Pengarang Berita, Pendidika, Berita Harian telah mengambil peluang ini untuk beramah mesra dengan para pelajar bagi mengenal pasti masalah-masalah yang sering dihadapi khususnya dari aspek pendidikan. Beliau juga turut mengambil kesempatan ini dengan mengadakan sesi bergambar bersama para pelajar untuk dijadikan kenangan.

Sertai Rangkaian Kami

Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami

 
 

© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.