Program Keceriaan Sekolah Menengah

Tarikh : 14-15 November 2009

Lokasi : Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda, Sekolah Menengah Kebangsaan St Mark, Maahad Al Imam An-Nawawi

Maklumat Aktiviti:

Alam sekitar merupakan salah satu faktor penyumbang kepada proses pembelajaran di sekolah di samping dapat menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah. Menyedari kepentingan keindahan dan keceriaan sekolah terhadap para pelajar, pengurusan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) telah mendapatkan ilham untuk mengadakan Program Keceriaan Sekolah bagi sekolah-sekolah yang memerlukan. Idea ini telah mendapat sokongan daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP yang sentiasa berusaha untuk menjadikan SMP sebagai sebuah badan prihatin yang dapat bertindak mengikut keperluan masyarakat.

Pada 14 dan 15 November 2009, SMP telah mengadakan program yang dinamakan Program Keceriaan Sekolah di sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Program ini melibatkan tiga (3) buah sekolah terpilih berdasarkan beberapa kriteria setelah melalui proses pemilihan. Sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan St Mark, Maahad Al Imam An-Nawawi dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Muda.

Program Keceriaan Sekolah merupakan sebuah program yang diadakan bertujuan mengindahkan kawasan sekitar sekolah termasuk mengecat, keindahan landskap, mural dan sebagainya. Matlamat utama penganjuran program adalah untuk menceriakan kawasan sekitar sekolah di samping mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar memandangkan komunikasi antara kedua belah pihak sangat penting bagi proses pembelajaran yang lebih berkesan. Selain para pelajar dan guru-guru, aktiviti gotong-royong ini juga melibatkan sukarelawan jemputan SMP bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi setiap sekolah terbabit. Sukarelawan jemputan adalah terdiri daripada pelatih GIATMARA Kepala Batas dan pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas.

Bagi memastikan aktiviti pengindahan landskap dijalankan dengan lebih teratur, SMP telah menggunakan khidmat profesional dengan menjemput wakil dari Jabatan Landskap Negara dan Landskap Malaysia bagi mengetuai kerja-kerja yang melibatkan landskap. SMP juga telah mendapatkan bekalan pokok-pokok untuk tujuan pengindahan landskap daripada Aras Jati Sdn Bhd.

Selain pengindahan landskap, para sukarelawan jemputan dan guru-guru sekolah juga bertungkus-lumus mengecat bangunan sekolah dan juga melukis mural bagi bahagian yang telah dikenal pasti semasa proses pemilihan diadakan. Kerja-kerja mengecat ini meliputi bahagian luar dan dalam bangunan mengikut keperluan bagi setiap sekolah. Semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar, guru-guru, PIBG, sukarelawan dan semua individu terlibat telah menjadi faktor penyumbang kepada kelancaran dan kejayaan program ini.

Galeri SMP

9 8 7 6 5 4 35 34

Sertai Rangkaian Kami

Daftar bersama kami bagi mengtahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami!

Name
Emel