English

Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.

Program Keceriaan Sekolah Rendah

Tarikh : 11-12 Julai 2009

Lokasi : Sekolah Kebangsaan Padang Menora, Sekolah Kebangsaan Bumbong Lima, Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam

Maklumat Aktiviti:

Bersandarkan objektif penubuhan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP), sebuah program keceriaan sekolah telah diilhamkan oleh pihak pengurusan SMP selaras dengan keprihatinan dan kesedaran yang tinggi YABhg Tun Jeanne Abdullah selaku Pengerusi Eksekutif Sekretariat Malaysia Prihatin terhadap keperluan menjaga Alam Sekitar. Program ini terbit setelah menyedari bahawa keceriaan sekolah turut menjadi faktor penyumbang terhadap minat pelajar untuk hadir ke sekolah sekali gus membantu menyuntik semangat dan perkembangan akademik mereka.

Menyedari kepentingan ini, SMP telah menganjurkan program keceriaan sekolah di tiga (3) buah sekolah terpilih. Sekolah-sekolah yang dimaksudkan adalah Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, Sekolah Kebangsaan Bumbong Lima dan Sekolah Kebangsaan Padang Menora. Program ini meliputi aktiviti gotong-royong di antara sukarelawan jemputan SMP bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah yang terbabit. Program ini juga telah mendapat sokongan padu daripada Pengerusi Eksekutif SMP, YABhg Tun Jeanne Abdullah yang turut serta dalam aktiviti gotong-royong di sekolah berkenaan. Kehadiran beliau yang diiringi oleh mantan Perdana Menteri ke lima (5), YB Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi telah menaikkan semangat para sukarelawan khususnya untuk memastikan segala perancangan berjalan dengan lancar.

Berpandukan kepada kelulusan yang diterima daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), program ini telah diadakan pada 11 dan 12 Julai 2009. Sukarelawan jemputan adalah daripada anggota beruniform dan para pelajar kolej. Anggota beruniform yang terlibat adalah terdiri daripada anggota 6 Skoden Rejimen Askar Jurutera Diraja (6 SKNRAJD), anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan anggota Bomba dan Penyelamat Kepala Batas. Khidmat sukarelawan pelajar diperoleh daripada Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan para pelatih GIATMARA Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Setinggi penghargaan telah diberikan kepada 6 Skoden Rejimen Askar Jurutera Diraja di atas khidmat profesional yang ditunjukkan sehingga berdirinya sebuah wakaf di Sekolah Kebangsaan Bumbong Lima, Anggota Bomba dan Penyelamat, Kepala Batas di atas bantuan mereka melancarkan sistem saliran di Sekolah Kebangsaan Bumbong Lima. Penghargaan juga ditujukan buat Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia di atas khidmat sukarela mengecat keseluruhan bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Padang Menora dan tidak ketinggalan kepada para pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di atas usaha dan semangat mereka membantu mengecat sebahagian daripada bilik darjah di Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam.

Penghargaan juga kepada syarikat yang menyumbang pokok-pokok bunga dan herba bagi aktiviti pengindahan landskap di Sekolah Kebangsaan Bumbong Lima dan Sekolah Kebangsaan Padang Menora. Proses pengindahan landskap ini dijayakan sepenuhnya dengan kerjasama para pelatih dan tenaga pengajar dari GIATMARA. Bagi Sekolah Kebangsaan Permatang Bertam, sebahagian daripada pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah turut serta dalam proses pengindahan landskap ini. Semangat sukarelawan yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini diharapkan menjadi contoh kepada masyarakat di Malaysia amnya.

Program yang dijalankan selama dua (2) hari ini berjalan dengan jayanya sekali gus matlamat penganjuran program telah dicapai. Program keceriaan ini juga telah mengikat tali persaudaraan di antara pihak SMP dan juga pihak sekolah terbabit.

Sertai Rangkaian Kami

Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami

 
 

© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.