Tarikh : 14-16 Disember 2009
Lokasi : Nur Bukit Hijau, Kulim, Kedah
Maklumat Aktiviti:
Sektor pendidikan merupakan salah satu sektor yang sentiasa menjadi pelengkap kepada kemajuan sesebuah Negara. Sektor ini berfungsi melahirkan generasi muda yang akan menjadi pemangkin kepada penjanaan idea-idea baru yang akan memberi impak kepada Negara khususnya. Perkembangan rohani dan jasmani generasi ini mampu merubah dunia dalam melahirkan tunas idea di samping mewujudkan pemimpin-pemimpin berkaliber di masa akan datang.
Menyedari kepentingan ini, Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) telah tampil sebagai sebuah badan prihatin yang sentiasa mengambil ruang dan peluang untuk membantu masyarakat Malaysia umumnya terutama golongan pelajar yang kurang berkemampuan dan dikategorikan tercicir. Bagi memastikan SMP sentiasa membantu kerajaan Malaysia dalam memastikan peningkatan positif generasi muda di sektor pendidikan, pengurusan SMP telah melahirkan sebuah program yang berfokuskan kepada kerohanian pelajar-pelajar tersebut. Program ini dinamakan Program Motivasi Bersama Prihatin.
Program yang diadakan selama tiga (3) hari dua (2) malam ini telah disertai oleh pelajar-pelajar di sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Mereka merupakan golongan peringkat umur di antara 13 tahun hingga 17 tahun. Proses pemilihan pelajar-pelajar tersebut diadakan berdasarkan cadangan serta pandangan daripada wakil penduduk bagi setiap kawasan. Seramai 80 orang pelajar telah mengikuti Program Motivasi Bersama Prihatin ini dan telah dibawa daripada kawasan masing-masing menggunakan bas yang telah disediakan oleh pihak SMP.
Program yang bermula pada 14 Disember 2009 dan berakhir pada 16 Disember 2009 telah diadakan di Nur Bukit Hijau, Kulim, Kedah dan diselia oleh konsultan yang dilantik SMP iaitu Rebutia Corporation Sdn Bhd. Konsultan ini bertanggungjawab sepenuhnya kepada perjalanan program dan juga kebajikan pelajar-pelajar sepanjang berada di kawasan program. Semua bentuk aktiviti indoor dan outdoor yang dijalankan telah dipersetujui kedua belah pihak SMP mahupun Rebutia Corporation Sdn Bhd bagi memastikan modul-modul yang diaplikasikan bersesuaian dengan motif utama program.
Bagi memastikan program berjalan lancar di samping memberi keselesaan kepada para pelajar, SMP telah memilih Nur Bukit Hijau, Kulim, Kedah untuk dijadikan tapak program. Menyedari keindahan alam sekitar mampu menjadi penyumbang kepada kejayaan program ini,, SMP menjangkakan hutan lipur ini dapat menarik minat para pelajar dalam menerima segala panduan yang bakal diberi oleh konsultan sepanjang tiga (3) hari dua (2) malam program berlangsung.
Modul-modul yang disediakan merangkumi semua aktiviti indoor dan outdoor yang memenuhi aspek kemantapan rohani dan jasmani. Setiap slot menekankan kebersihan hati dan nurani serta mengindahkan akhlak para peserta dalam usaha menempuhi kehidupan.
Sepanjang program berlangsung pada peserta telah diajar untuk sentiasa muhasabah diri dalam apa jua keadaan bagi memastikan segala keputusan yang dibuat akan memberi kesan yang positif terhadap diri sendiri, agama, keluarga, bangsa serta Negara. Di samping itu para fasilitator juga sentiasa berusaha untuk membimbing peserta agar dapat meningkatkan jati diri bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan dan bercita-cita tinggi.
Aktiviti outdoor juga sedikit sebanyak telah menjadi salah satu faktor penyumbang kepada kejayaan untuk menyemai semangat setia kawan di kalangan para peserta sekali gus mengeratkan tali persaudaraan yang baru terjalin. Aktiviti ini juga berjaya memupuk semangat kerjasama dan tolong-menolong sesama rakan dalam keadaan senang mahupun susah.
Pihak SMP berharap agar usaha murni ini dapat membantu para pelajar berpencapaian akademik sederhana untuk sentiasa berfikiran positif dan mampu meningkatkan kecemerlangan dan seterusnya memberi saingan sihat kepada golongan pelajar yang lebih cemerlang.
Daftar bersama kami bagi mengtahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami!