Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.
Tarikh : 28-29 Ogos 2010
Lokasi : Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP)
Maklumat Aktiviti:
Pada 28 dan 29 Ogos 2010 Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) sekali lagi telah menganjurkan program berbentuk pendidikan kepada pelajar-pelajar terpilih bagi setiap sekolah sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor. Para peserta adalah terdiri daripada pelajar Tingkatan Tiga (3) yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini. Program yang dikendalikan oleh Berita Harian Sdn Bhd dan diselia oleh tenaga pengajar berpengalaman yang dilantik ini lebih berfokuskan kepada teknik-teknik menjawab soalan dengan lebih mudah, sistematik dan berkesan. Pelajar-pelajar juga telah diberi pendedahan pelbagai bentuk soalan yang bakal dihadapi menjelang peperiksaan PMR pada tahun ini.
Dalam usaha mencapai objektif program, SMP telah menetapkan beberapa kriteria bagi memastikan proses pemilihan peserta program dilakukan dengan betul. Pelajar-pelajar yang berada dalam golongan berpencapaian akademik rendah, kurang berkemampuan namun mempunyai daya usaha dan keinginan untuk berjaya yang tinggi telah diberi keutamaan untuk menyertai program Skor A PMR ini. Walaubagaimanapun, peserta Program Skor A PMR ini merupakan pelajar yang telah dipilih berdasarkan kriteria yang sama bagi Program Motivasi Dan Bijak Belajar Bersama Prihatin yang telah berjaya diadakan pada 29-31 Januari 2010 di Dusun Minda Resort, Kuala Nerang, Kedah. SMP yang sentiasa berusaha untuk membantu para pelajar ini akan memantau perkembangan prestasi pelajar dari semasa ke semasa.
Program Skor A PMR ini dijayakan lagi dengan penggunaan modul-modul mantap daripada tenaga pengajar yang bertanggungjawab mengendalikan sesi bersama para pelajar. Hubungan baik yang telah terjalin di antara SMP dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) telah memberi ruang dan peluang kepada SMP untuk menggunakan dewan kuliah utama bagi memuatkan 250 orang peserta bagi program ini. Sekolah-sekolah yang terlibat untuk program pendidikan pada kali ini adalah SMK Paya Keladi, SMK Permatang Tok Labu, SMK Bertam Indah, SMK Sri Muda, SMK Datuk Haji Ahmad Badawi, SMK Kepala Batas, SMK Datuk Haji Abdul Kadir dan SMA Ma’ahad Al-Imam An Nawawi, SMK Pokok Sena, SMK St Mark, SMK Kg Selamat, SMK Telok Air Tawar, SMK Datuk Haji Ahmad Said, SMK Dato’ Onn, SMK Bakti dan SMK Permatang Tok Jaya.
Di samping memastikan kecemerlangan peserta, faktor keselamatan juga telah menjadi keutamaan bagi SMP. Dengan ini, enam (6) buah bas telah disediakan untuk tujuan pengangkutan para pelajar dari sekolah masing-masing ke KMPP dan sebaliknya. Acara penyampaian sijil kepada peserta program telah dijalankan sebagai penutup Program Skor A PMR. Acara selingan ini turut diserikan lagi dengan kehadiran YBhg Puan Sri Fawziah Begum Mohd Abu Bakar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP dan diiringi Encik Mohd Fahmi Abdul Latiff, Pegawai Khas SMP. Ucapan aluan dan kata-kata perangsang daripada YBhg Puan Sri turut membantu menaikkan semangat para peserta untuk lebih cemerlang.
Sertai Rangkaian Kami
Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami
© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.