Misi kami untuk menjadi badan pertengahan di antara rakyat dan kementerian kerajaan, dan memastikan program serta dana bantuan kerajaan yang sedia ada dapat disalurkan dengan mudah kepada mereka yang berkelayakan.
Tarikh : 6-7 Mac 2010
Lokasi : Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kepala Batas, Pulau Pinang
Berdasarkan kejayaan program pendidikan yang dijalankan sebelum ini, Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) sekali lagi meneruskan usaha murni tersebut dalam membantu para pelajar yang berpencapaian akademik sederhana untuk memajukan diri sekali gus memastikan golongan ini setaraf dengan pelajar-pelajar yang lain.
Bersandarkan kelulusan daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Seminar Bijak Belajar Bersama Prihatin ini telah berjaya diadakan pada 6 dan 7 Mac 2010. Seminar ini telah memberi ruang dan peluang kepada calon-calon yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor untuk terus berusaha bagi mencapai keputusan yang cemerlang. Hasil kerjasama yang diperoleh daripada sekolah-sekolah menengah sekitar Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor seramai 238 pelajar telah mengikuti seminar ini yang melibatkan penyertaan sebanyak 16 buah sekolah.
Tujuan utama seminar seumpama ini dianjurkan adalah untuk memberi bimbingan dan motivasi kepada calon-calon SPM ini untuk lebih bersemangat dan mencabar potensi diri sendiri serta lebih berjaya. Melalui seminar ini juga pelajar-pelajar telah didedahkan dengan beberapa teknik belajar yang betul dan sesuai dengan tahap pencapaian akademik sekarang.
Dalam usaha untuk menjayakan seminar ini, SMP telah sekali lagi mendapatkan khidmat profesional daripada Rebutia Corporation Sdn Bhd bagi memberi bimbingan, motivasi, teknik belajar dan bahan-bahan sampingan yang mampu meningkatkan semangat golongan para pelajar ini. Selain daripada itu, unsur-unsur nilai murni juga turut diterapkan kepada para pelajar bagi melengkapkan sesi seminar ini disamping mengurangkan peratus masalah sosial di kalangan remaja masa kini yang menjadi salah satu faktor penyumbang kepada masalah pencapaian akademik.
Majlis Penyampaian Sijil merupakan sesi penutup kepada seminar ini dan telah diserikan dengan kehadiran YBhg Puan Sri Fawziah Begum Mohd Abu Bakar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP. Beliau yang diiringi Encik Othman Omar, Ketua Pegawai Eksekutif SMP serta Pegawai Khas SMP, Encik Mohd Fahmi Abdul Latif dan Encik Md Zabidi Md Ariffin telah turut meluangkan masa untuk beramah mesra dan bergambar bersama para peserta. Beliau dalam ucapannya turut menasihatkan para peserta program untuk memanfaatkan sepenuhnya segala yang telah dipelajari sepanjang dua hari program berlangsung dan berharap agar lebih bersemangatdan berusaha lebih gigih untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam SPM kelak.
Sertai Rangkaian Kami
Daftar bersama kami bagi mengetahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami
© 2011 Hak Cipta oleh Sekretariat Malaysia Prihatin. Direka oleh Karyalabs.