Tarikh : 16 Oktober 2009
Lokasi : Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor
Maklumat Aktiviti:
Sebagai sebuah badan yang sentiasa prihatin kepada masyarakat Malaysia, Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) telah mengambil inisiatif bagi membantu meringankan beban golongan fakir miskin dan daif di kalangan masyarakat India dengan mengadakan Program Sumbangan Sempena Perayaan Deepavali di Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas. Proses pemilihan penerima sumbangan adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria dan telah melalui proses kajian dan pemerhatian yang terperinci. Program yang diadakan pada 16 Oktober 2009 ini membabitkan 91 buah keluarga penerima. 61 buah keluarga terdiri daripada Parlimen Tasek Gelugor manakala baki 30 buah keluarga adalah daripada Parlimen Kepala Batas.
Antara barangan yang disumbangkan semasa program berlangsung adalah terdiri daripada barangan runcit seperti beras, bawang kecil, bawang besar, bawang putih, minyak masak, serbuk teh, milo, ikan bilis, mee hoon, susu pekat, kestri mix, serbuk kari ayam, serbuk kari ikan, tepung beras, kordial oren serta gula. Berbekalkan sifat timbang rasa, perikemanusiaan dan murah hati, sebuah syarikat telah tampil dengan rela hati memberi sumbangan gula berjumlah 273kg untuk dibahagikan kepada semua keluarga penerima. Barangan basah seperti ayam turut disumbangkan oleh salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP, Tan Sri Lau Tuang Nguang. Setiap keluarga diberikan lima (5) ekor ayam segar untuk dijadikan hidangan semasa perayaan. Di samping itu, beliau juga turut menyumbangkan telur ayam untuk penyediaan juadah sampingan.
Selain daripada menerima barangan keperluan harian, pihak pengurusan SMP juga telah berusaha untuk mendapatkan wang saku bagi membantu meringankan beban seharian. Yang Berhormat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan ikhlas hati telah menghulurkan sejumlah wang sebagai wang saku kepada semua penerima sumbangan bagi kedua buah parlimen terlibat.
Kehadiran Pengerusi Eksekutif SMP, YABhg Tun Jeanne Abdullah di Parlimen Kepala Batas telah menyerikan lagi majlis. YABhg Tun Jeanne telah turut serta dalam rombongan para sukarelawan yang dilantik SMP untuk berkunjung ke rumah-rumah terpilih untuk menyampaikan sumbangan kepada penerima.
YBhg Dato’ Reezal Merican Naina Merican yang juga merupakan salah seorang daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP turut serta dalam kunjungan rumah ke rumah tersebut. Beliau telah meluangkan masa untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga penerima di samping wakil masyarakat Parlimen berkenaan yang turut hadir memberi sokongan.
Berbanding Parlimen Kepala Batas, pengurusan SMP dan juga wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Tasek Gelugor telah bersetuju untuk mengadakan Sumbangan Deepavali ini di Dewan HYO, Pokok Machang, Tasek Gelugor. Para wakil masyarakat di Parlimen tersebut telah dipertanggungjawabkan untuk membawa keluarga terbabit ke dewan tersebut untuk menerima sumbangan yang akan diberikan. Pihak pengurusan SMP juga telah menyediakan sebuah lori untuk tujuan penghantaran barangan sumbangan ke rumah mereka yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran YBhg Puan Sri Fawziah Begum Mohd Abu Bakar, Ahli Lembaga Pemegang Amanah SMP yang juga isteri kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Di kesempatan itu, YBhg Puan Sri telah meluangkan masa untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai pembuka majlis dan turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga yang terpilih. Kehadiran YBhg Puan Sri juga telah menceriakan ahli keluarga terbabit.
Daftar bersama kami bagi mengtahui pelbagai aktiviti kami yang terkini dan akan datang serta anda juga berpeluang untuk menyertai skim sukarelawan kami!